Ahad, 1 Disember 2013

Tengku Adnan dakwa pembangkang gila “berdemonstrasi” berhubung Cukai Pintu

Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Mansor (gambar) membidas pakatan pembangkang yang disifatkannya sebagai gila “berdemonstrasi” terhadap rancangan untuk mengadakan bantahan kenaikan cukai pintu.
Tengku Adnan dalam sidang media di Putrajaya hari ini memberitahu media pemimpin PR menjadi isu yang terpaksa ditanganinya sejak kenaikan cukai pintu dimainkan oleh pihak media.
“Maaflah saya nak cakap, tetapi mereka keliru dan suka mengelirukan orang ramai.
“Mereka tidak bekerja dan hanya tahu bercakap dan menipu,”kata beliau dalam nada kecewa.
Tengku Adnan berkata, pembangkang hanya berminat mempolitikkan dan mensensasikan isu tersebut walaupun permohonan maaf telah dibuatnya susulan kekeliruan yang tercetus.
“Itulah masalah pembangkang. Mereka gila berdemonstrasi. Mereka suka mempolitikkan dan mensensasikan, politik sebegini sangat buruk,” katanya.
“Saya sudahpun minta maaf. Kamu tidak boleh salahkan Datuk Bandar. Saya sepatutnya semak dahulu.
“Sebab itu saya minta maaf,” katanya.
Ahli Parlimen Pakatan Rakyat Wilayah Persekutuan merancang untuk mengadakan demonstrasi pada 16 Disember ini di hadapan bangunan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur bagi membantah kadar kenaikkan cukai tersebut yang dianggap terlalu tinggi.
Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar juga sebelum ini mendesak Tengku Adnan dan Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Ahmad Phesal Talib meletak jawatan susulan kontroversi isu tersebut.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan