Khamis, 26 Disember 2013

DAH SEMINGGU CARI DALAM QURAN DAN HADIS YANG KATA TAK BOLEH GULING KERAJAAN.TAK JUMPA ??? BENARKAH TIADA ???

Salah satu prinsip di dalam i’tiqad Ahlus Sunnah wal-Jama’ah adalah mentaati dan menghormati pemerintah (pemimpin) di mana dia duduk di bawah kepimpinan atau kekuasaan pemerintah tersebut. Ini adalah sebagaimana yang telah dijelaskan melalui tulisan sebelumnya.

Ketaatan yang dimaksudkan di sini adalah merujuk kepada:

1 - Mentaati mereka dalam urusan kebaikan (ma’ruf), termasuk merealisasikan perintah mereka yang ma’ruf dan membantu mereka dalam urusan kebaikan yang diperlukan atau diperintahkan,

2 – Mengakui, menghormati, dan memuliakan kedudukan mereka sebagai pemimpin serta sentiasa mendoakan kebaikan untuk mereka,

3 - Tidak mentaati mereka dalam urusan atau perintah bermaksiat kepada Allah,

4 - Membenci maksiat yang mereka lakukan dan mengingkari keburukan yang mereka lakukan dengan cara nasihat dan kaedah-kaedah yang syar’i,

5 - Serta tidak berusaha untuk menjatuhkan, membelot, menzahirkan sifat kepembangkangan terhadap kepimpinan, dan tidak menghina atau mencela mereka walaupun mereka bertindak buruk dan zalim. Ini adalah selagi mana mereka masih tetap menegakkan syi'ar solat dan tidak dilihat padanya kafir bawaahan.

Mentaati Pemerintah Adalah Sebahagian Ciri Taqwa dan Tanda Ketaatan Kepada Allah serta Rasul-Nya

Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

مَنْ أَطَاعَنِي فَقَدْ أَطَاعَ اللَّهَ وَمَنْ عَصَانِي فَقَدْ عَصَى اللَّهَ وَمَنْ يُطِعْ الْأَمِيرَ فَقَدْ أَطَاعَنِي وَمَنْ يَعْصِ الْأَمِيرَ فَقَدْ عَصَانِي

“Sesiapa yang taat kepadaku, sesungguhnya ia telah taat kepada Allah. Sesiapa yang derhaka kepadaku, sesungguhnya ia telah derhaka kepada Allah. Sesiapa yang taat kepada pemimpin, sesungguhnya ia telah taat kepadaku, dan sesiapa yang derhaka kepada pemimpin, sesungguhnya ia telah derhaka kepadaku.” (Hadis Riwayat al-Bukhari, 10/114, no. 2737. Muslim, 9/364, no. 3417)

Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin mengatakan:

“Ya, tiada siapa yang bersetuju dengan demonstrasi ganas. Rakyat diharapkan keluar ke jalan dengan aman sebagai tanda bantahan atas kezaliman rejim-rejim mereka. Ia salah satu dari menzahirkan bantahan terhadap kemungkaran. Dalam hadis seorang lelaki datang mengadu kepada kepada Rasulullah s.a.w, katanya:

“Sesungguhnya jiranku menyakitiku”. Sabda Nabi s.a.w: “Keluarkan baranganmu dan letakkannya di jalan”. Maka lelaki itu mengambil barangannya dan letak di jalan. Lalu, setiap orang yang melintas bertanya: “apa yang berlaku kepadamu?”. Dia menjawab: “Jiranku menyakitiku”. Maka mereka berkata: “Ya Allah laknatilah dia, Ya Allah hinalah dia”. Dengan sebab itu, jirannya berkata: “Kembalilah ke rumahmu, aku tidak akan sakitimu lagi”. (Riwayat al-Bazzar dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Ahmad Syakir menilainya sebagai sahih).

Demikian, Nabi mengajar bahawa kadang-kala cara menyelesaikan kezaliman dengan mendapat sokongan ramai di jalan. Bantahan orang ramai boleh menakutkan orang yang zalim. Jika sekadar kezaliman jiran kita boleh bertindak sedemikian, apatahlagi kezaliman rejim yang jauh lebih besar dan sukar disingkirkan. Pasti sokongan yang lebih besar dan bantahan di jalan yang lebih hebat diperlukan. Apa yang penting, penunjuk perasaan tidak boleh menumpahkan darah sesama umat Islam dan rakyat, juga tidak merosakkan harta awam dan mereka yang tidak bersalah.

Dunia Arab dan Islam mesti berubah. Eropah telah lama menyingkirkan pemimpin mereka yang korupsi dan kuku besi. Kadang-kala hak binatang yang dinikmati oleh Barat lebih baik dari hak manusia yang hidup di bawah rejim-rejim yang berkuasa di Dunia Arab dan Islam. Jatuh! Jatuh! Jatuhlah segala rejim!”

Di tempat lain, beliau turut menegaskan halalnya demonstrasi jalanan dengan hadis tersebut sebagaimana dalam video berikut,http://youtu.be/QOKenlEKAbo

Komentar dan bantahan:

[Pertama] Hadis tersebut adalah sebagaimana berikut:

قال رجل يا رسول الله، إن لي جاراً يؤذيني، فقال: "انطلق. فأخرج متاعك إلى الطريق". فانطلق فأخرج متاعه، فاجتمع الناس عليه، فقالوا: ما شأنك؟ قال: لي جار يؤذيني، فذكرت للنبي صلى الله عليه وسلم فقال: "انطلق. فاخرج متاعك إلى الطريق" فجعلوا يقولون: اللهم! العنه، اللهمّ أخزه. فبلغه، فأتاه فقال: ارجع إلى منزلك، فوالله لا أوذيك.

Seorang lelaki datang mengadu kepada Rasulullah, “Wahai Rasulullah, sesungguhnya jiranku menyakitiku.” Sabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam, “Pulanglah, dan keluarkan barang-barang kamu serta letakkannya di jalan.” Maka lelaki itu pun pulang dan mengambil barang-barangnya lalu meletakkannya di jalan. Maka orang ramai pun berkumpul di sekitarnya sambil bertanya, “Apa yang berlaku kepadamu?” Dia menjawab, “Jiranku menyakitiku lalu aku ceritakannya kepada Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam. Beliau pun berkata, “Pulanglah, dan keluarkan barang-barang kamu serta letakkannya di jalan.”” Maka mereka (orang-orang di situ) pun berkata, “Ya Allah laknatilah dan hinalah dia.” Rupanya dalam masa yang sama perkara tersebut didengari oleh jirannya tersebut. Maka ia pun segera menemuinya dan berkata, “Kembalilah ke rumahmu, demi Allah aku tidak akan menyakitimu lagi.”

Hadis ini diriwayatkan oleh imam al-Bukhari dalam al-Adab al-Mufrad, no. 124 dalam bab keluhan jiran tetangga. Musnad al-Bazzar, no. 8344. Dan oleh imam al-Hakim dalam al-Mustadrak, no. 7302. Hadis ini dinilai sahih antaranya oleh al-Hakim, Syaikh Ahmad Syakir, dan al-Albani)

[Kedua] Cara faham yang diambil oleh Dr. Asri terhadap hadis tersebut termasuk sebahagian dari bentuk-bentuk qiyas yang amat jauh menyimpang. Hadis tersebut menyentuh adab dan hubungan sesama masyarakat, tetapi Dr. Asri menggunakannya untuk isu hubungan terhadap pemerintah.

[Ketiga] Menggunakan hadis ini untuk diqiyaskan dengan perbuatan demonstrasi jalanan terhadap pemerintah adalah sama-sekali tidak tepat dan keterlaluan. Sikap beliau tersebut termasuk sebahagian dari bentuk-bentuk takalluf terhadap dalil, iaitu memaksakan nash untuk mengikuti kehendaknya. Sedangkan hadis tersebut berbicara soal lain yang sama sekali tidak menyentuh isu demonstrasi jalanan mahupun memprotes pemerintah. Yang mana apa yang difahami dari hadis tersebut hanyalah Nabi memerintahkan si pengadu tersebut mengeluarkan barang-barangnya ke jalan. Itu sahaja! Tidak ada sama sekali perintah supaya berdemonstrasi mahupun tunjuk perasaan.

[Keempat] Suatu hal yang perlu difahami bahawa soal bermu’amalah terhadap pemerintah itu telah ada dalil-dalilnya yang bersifat khusus lagi tersendiri. Ini membezakan kaedah mu’amalah atau hubungan di antara jiran dengan pemerintah. Atau hubungan dalam kalangan awam secara umum dengan pemerintah secara khusus.

Seandainya kita mengedepankan hadis ini yang merujuk situasi umum hubungan sesama jiran, jadi di mana pula kita akan lemparkan kekhususan hadis-hadis berkaitan mu’amalah terhadap para pemerintah? Apakah kerana satu hadis yang bersifat umum yang tiada kaitan dengan pemerintah tersebut mampu menjadi nash yang jauh lebih kuat sehingga mampu memalingkan sekumpulan hadis-hadis lain yang bersifat khusus?

Bukankah ini akan menimbulkan pelbagai bentuk pertembungan di antara satu hadis dengan sekumpulan hadis yang lain? Nah, bukankah ini jelas sebuah kaedah yang bathil? Menaikkan satu hadis yang mendukung hujahannya dan mendiamkan sekumpulan besar hadis-hadis yang menentang pegangannya?

[Kelima] Kaedah faham yang diambil Dr. Asri bertembung dengan banyak dalil-dalil yang lain. Ini akan dijelaskan pada point-point berikutnya.

[Keenam] Bertentangan dengan adab dan praktik menasihati pemerintah anjuran nabawi. Islam tidak pernah mendidik umatnya agar keluar melakukan demonstrasi terhadap pemerintah, biarpun pemerintah yang kafir. Demonstrasi jalanan tidak pernah berlaku di zaman Nabi mahupun sahabat. Tidak pernah disuruh atau dicontohkan oleh mereka.

Bahkan mengkritik atau mencanang keburukan pemerintah di mimbar-mimbar saja sudah dilarang keras oleh para salaf, inikan pula membuat bantahan dan demonstrasi di jalan-jalan?

[Ketujuh] Apa yang diajar oleh Rasulullah dan para sahabat adalah menasihati, membimbing, dan membantu pemerintah dalam hal-hal makruf. Memberi nasihat dan menegur kesalahan secara berdepan. Bukan secara demonstrasi dan tunjuk perasaan di jalan-jalan.

Walaupun pemerintah itu zalim sekalipun, Nabi tetap tidak pernah membenarkan agar diadakan demonstrasi-demonstrasi jalanan. Sekiranya nasihat dan cadangan tidak diterima, maka sesungguhnya kita telah menyampaikan, dan nasihat-nasihat umum tetap berlangsung untuk manfaat kaum muslimin. Ini telah penulis jelaskan secara khusus lagi terperinci dalam tulisan berikut, http://fiqh-sunnah.blogspot.com/2010/05/174-fiqh-menasihati-para-pemimpin.html

[Kelapan] Cara faham Dr. Asri bertentangan dengan hadis-hadis yang memerintahkan agar taat kepada pemerintah dalam hal-hal yang makruf. Bahkan ia termasuk kaedah yang telah menjadi maklum di sisi ahli sunnah wal-jama’ah. Ini antaranya sebagaimana ditegaskan imam Muhammad ‘Abdurrahman al-Mubarakfuri rahimahullah:

الإمام إذا أمر بمندوب أو مباح وجب

“Apabila seseorang pemimpin memerintahkan sesuatu yang sunnah atau mubah (harus), maka hukumnya menjadi wajib.” (Tuhfatul Ahwadzi, 5/298)

Dari itu, bukankah undang-undang jalan raya, undang-undang lalu lintas, undang-undang larangan berdemonstrasi di jalan-jalan raya dan seumpamanya termasuk hal-hal yang makruf. Kalau bukan wajib sekalipun kerana tidak datang secara khusus dari wahyu, maka bukankah ia termasuk hal-hal yang mubah (harus) yang memiliki maslahah umum dan wajib ditaati. Sebagaimana kaedah dan prinsip ahli sunnah tadi, setiap perintah dari pemerintah yang mubah lagi memiliki maslahah dan kebaikan awam, maka wajib ditaati.

[Kesembilan] Cara faham Dr. Asri bertentangan dengan hadis yang menegaskan berkaitan hak-hak jalan. Ini telah penulis jelaskan dalam artikel khas di sini, http://an-nawawi.blogspot.com/2010/10/amalan-demonstrasi-bukan-ajaran-islam.html

[Kesepuluh] Hadis yang digunakan oleh Dr. Asri tersebut sama sekali tidak mengajar tunjuk perasaan, demonstrasi, mahupun berkumpul-kumpul di jalan-jalan bagi membuat protes mahupun bantahan terhadap pemerintah.

Bahkan hadis tersebut memberi isyarat jelas, apabila menghadapi permasalahan sesama masyarakat (jiran tetangga) agar mendapatkan nasihat kepada golongan berautoriti, iaitu orang yang yang berkuasa.

Berkumpulnya manusia dalam hadis tersebut bukanlah suatu yang dirancang dan disengajakan mahupun diperintahkan oleh Rasulullah. Tetapi ia berlaku tanpa sengaja kerana melihat salah seorang tetangganya meletakkan barang-barang di jalanan.

Sebenarnya ini hampir sama seperti apabila berlaku kemalangan di jalan raya, maka ramailah orang yang akan memperlahankan kenderaan untuk sambil melihat kejadian sehingga mengakibatkan jalan sesak.

Pada hari ini, untuk meletakkan barang-barang di jalan-jalan, maka ia tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya, kerana jalan-jalan kita memiliki undang-undang dan ada hak-haknya bagi kemaslahatan bersama. Untuk memasang khemah kenduri kahwin sendiri pun perlu mendapat kebenaran dari beberapa pihak tertentu, inikan pula mahu demonstrasi?!

Sekiranya, setiap orang melaungkan hak keinginan masing-masing, nescaya nanti masing-masing orang akan bersuka ria di tengah-tengah jalan raya atas alasan hak berhimpun dan berdemonstrasi! Maka tidak mustahil akan ada yang mahu baring-baring di jalanan, main bola di jalan, duduk-duduk di jalan-jalan, meminta-minta sedekah di jalan-jalan, makan-makan, bahkan mungkin ada yang ingin berniaga di jalan-jalan?! Alasannya, “Kami ada hak untuk berhimpun secara aman!”

Dari sini sahaja telah jelas menunjukkan cara faham Dr. Asri ini sangat besar pertentangannya dengan waqi’ dan keadaan semasa pada hari ini. Bukankah Dr. Asri selalu mengajak masyarakat mengikuti realiti agar tidak jumud dan literal dalam memahami nash! Jadi, buktikan!

Oleh itu, jangan hanya fikir hak diri sendiri, fikirkan sama hak-hak orang lain serta pengguna lain. Jangan kerana alasan mahu memprotes atau menjatuhkan pemerintah zalim, lalu kalian pula berbuat zalim ke atas orang lain! Bahkan zalim ke atas dalil-dalil agama dengan sebab penyelewengan pena-pena kalian!

Ingatlah, korupsi hadis jauh lebih bahaya dari korupsi wang, bahkan korupsi hadis jauh lebih zalim berbanding korupsi harta!

Maka di sini saya nasihatkan, janganlah menjadi pemanipulasi hadis hanya kerana diri punya gelar Dr. Dan PhD.!

[Kesebelas] Lebih berseberangan dengan kaedah faham hadis di atas, banyak hadis-hadis lain yang mengajarkan bagaimana seharusnya kita menjaga hubungan terhadap pemerintah Islam.

Islam mengajar mentaati pemerintah dalam hal-hal yang makruf dan tidak taat dalam hal-hal yang mungkar. Dan Islam juga mengajar kita agar tidak merampas atau menumbangkan kerusi kepimpinan para pemerintah yang menaungi kita selagi mana mereka (pemerintah) masih muslim dan mendirikan solat. Prinsip ini tidak hanya diaplikasikan pada zaman-zaman pemerintah Khulafa al-Rasyidin, Dinasti Umayyah, ‘Abbasiyyah, mahupun zaman demokrasi hari ini, bahkan sehingga sepanjang zaman selagi masih ada pemerintah Islam. Perincian hal ini telah penulis bentangkan di sini,http://aqidah-wa-manhaj.blogspot.com/2010/08/125-bagaimana-ahlus-sunnah-wal-jamaah.html

[Kedua belas] Setakat carian dan semakkan, tidak ditemui ada golongan salaf menggunakan atau memahami hadis ini dalam rangka dalil demonstrasi jalanan sebagaimana difahami Dr. Asri. Maka bukankah ini termasuk hal-hal yang baru lagi berbau bid’ah?

Wallahu a’lam..

Tiada ulasan:

Catat Ulasan