SEREMBAN – Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Kebangsaan, Mohd Nazree Mohd Yunus, didenda sebanyak RM1,800 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas mengaku bersalah atas pendakwaan gagal memberi notis 10 hari lebih awal kepada pihak polis sebelum menganjurkan perhimpunan Blackout 505 ‘Suara Rakyat Suara Keramat’ pada 17 Mei lalu.
Mohd Nazree, 29, yang sebelum ini mengaku tidak bersalah menukar pertuduhan pada saat akhir, bagi menjimatkan masa dan kos untuk menghadiri perbicaraan.
Hakim, Datuk Jagjit Singh Bant Singh membuat keputusan tersebut setelah meneliti semua hujah dan fakta yang dikemukakan oleh pihak pendakwa raya, serta hujah balas yang dibuat oleh peguambela.
“Setelah meneliti dan mendengar rayuan yang dibuat oleh peguambela dan mendengar hujah balas yang dibuat oleh pihak pendakwaan, dengan ini mahkamah memutuskan hukuman denda sebanyak RM1,800 kepada Mohd Nazree Mohd Yunus, dan sekiranya gagal membayar denda akan dikenakan penjara tiga bulan,” katanya.
Mohd Nazree yang hadir ke mahkamah dengan kemeja lengan panjang berwarna putih, menganguk faham sebaik sahaja keputusan itu dibacakan oleh hakim mahkamah. – SH
Tiada ulasan:
Catat Ulasan