Sabtu, 9 November 2013

Yang di-Pertuan Agong: Jangan cicirkan anak bangsa

Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah bertitah pembinaan kampus-kampus baharu Universiti Teknologi Mara (UiTM) di luar bandar diharap dapat mengekang keciciran anak bangsa dalam pendidikan.
    
Seri Paduka bertitah langkah itu bukan sahaja dapat memberi limpahan ekonomi dan kemakmuran yang boleh dirasai semua lapisan masyarakat tetapi juga dapat membela darjat, martabat dan hak bangsa serta anak-anak Bumiputera.     
 
"Beta amat bersetuju dan menyokong saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak supaya UiTM menyasarkan peningkatan jumlah pelajar mencecah 250,000 menjelang tahun 2020.
    
"Beta yakin, dengan peningkatan jumlah yang besar ini, UiTM mampu memberi ruang dan peluang kepada anak bangsa dan Bumiputera untuk melanjutkan pengajian, seterusnya mengubah destini masa hadapan mereka," titah Seri Paduka pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen UiTM kali ke-79, di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC) di kampus induk UiTM di sini, hari ini.
    
Turut berangkat Raja Permaisuri Agong Tuanku Hajah Haminah.
    
Tuanku Abdul Halim turut menyeru semua pihak yang terlibat supaya  sama-sama menjalankan perancangan yang sistematik dan strategik dalam usaha merealisasikan hasrat tersebut.
    
Titah Seri Paduka, UiTM diharap dapat memastikan graduan yang dilahirkan mampu mempunyai kebolehpasaran tinggi supaya menjadi pilihan utama industri dalam bidang kerjaya, sekali gus meletakkan nama universiti itu sentiasa di hadapan, setanding dengan universiti terkemuka di peta dunia. 
    
"Sebagai Canselor, beta amat berbangga dengan pencapaian Program Mengubah Destini Anak Bangsa kelolaan UiTM kerana telah berjaya melahirkan kumpulan graduan sulungnya pada sidang konvokesyen kali ini.
   
"Beta juga dimaklumkan, dua daripada graduan sulung program ini dinobatkan sebagai penerima Anugerah Naib Canselor dengan memperoleh purata nilai gred kumulatif (PNGK) 3.7 ke atas," titah Seri Paduka.    
 
Sehubungan itu, Tuanku Abdul Halim berpesan kepada rakyat terutamanya para graduan untuk sentiasa bersyukur dan berterima kasih kepada pihak yang telah banyak berkorban demi kejayaan yang dikecapi mereka kini.
    
Seri Paduka turut menyeru supaya rakyat dapat memanfaatkan peluang yang diberikan untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada masa depan.
   
Tuanku Abdul Halim sebelum itu berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Undang-undang kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud.
    
Abdul Taib mendahului senarai 220 graduan yang menerima ijazah masing-masing terdiri daripada 24 graduan Doktor Falsafah (PhD) dan 196 graduan Sarjana pada sidang pertama konvokesyen tersebut hari ini.
    
Seramai 29,297 graduan bakal menerima diploma dan ijazah masing-masing pada istiadat konvokesyen itu yang bermula hari ini sehingga 19 November.     
 
Istiadat konvokesyen tersebut berlangsung dalam 17 sidang di DATC di sini, empat sidang masing-masing di kampus UiTM Perak, UiTM Pahang, UiTM Sarawak dan UiTM Pulau Pinang sementara lima sidang di UiTM Melaka, enam sidang di UiTM Terengganu dan lapan sidang di UiTM Perlis.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan