Jumaat, 8 November 2013

TERKINI RAK BARANG PASAR BORONG SELANGOR RUNTUH

SERI KEMBANGAN – “Kejadian berlaku terlalu pantas, semua yang berada bawah rak  menempatkan makanan kering tidak sempat menyelamatkan diri apabila ia runtuh secara tiba-tiba, “kata pekerja Pasar Borong Selangor yang menyaksikan kejadian runtuhan rak menyebabkan empat orang cedera, petang tadi.

Pekerja berusia lingkungan 20-an itu berkata, sebelum kejadian dia ada menyuruh rakan sekerjanya menjauhi rak struktur besi yang patah itu namun mereka terus mendekatinya untuk melihat apa yang berlaku.

Katanya, dia berasa sesuatu tidak kena apabila mendapati lampu dipasang terjatuh dan struktur besi sudah membengkok.

Bimbang insiden buruk dia kemudian berundur ke belakang namun tiga lagi pekerja lain mendekati kawasan itu.

Secara tiba-tiba katanya, rak yang menempatkan bihun dan mee segera runtuh menghempap empat orang yang berada di situ termasuk seorang pelanggan.

“Saya dan beberapa rakan lain kemudian bertungkus-lumus mengeluarkan mereka yang terperangkap dalam runtuhan barang-barang itu,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Abd Razak Elias berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 1.30 petang.

Tiga mangsa termasuk seorang pekerja wanita terpaksa dikejarkan ke hospital selepas mengalami kecederaan di bahu, kepala dan kaki akibat terkena runtuhan makanan kering berkenaan.

Seorang pelanggan warga Bangladesh berusia 28 tahun dihantar ke klinik swasta berhampiran kerana turut cedera terkena runtuhan.

“Rak berkenaan dipercayai tidak dapat menampung muatan makanan kering yang diletakkan di atasnya, kita masih menyiasat sama ada binaan struktur menempatkan rak itu mempunyai kelulusan atau tidak,”katanya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan