Isnin, 18 November 2013

Batal pendaftaran Pas:Karpal tetap dengan Pendiriaannya Enggan Menjawb apa apa pun

KUALA LUMPUR – Pengerusi DAP, Karpal Singh masih berdiam diri walaupun didesak berkali-kali oleh dua sayap parti Pas yang meminta beliau memohon maaf kepada parti itu.
Bagaimanapun, kelantangan Karpal yang mahu Pas dibatalkan pendaftarannya dianggap sebagai tamparan hebat bagi parti itu yang sanggup membelakangkan suara rakyat hanya kerana mahu bergabung dalam pakatan.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor itu masih berpegang dengan pendiriannya tidak pernah mengeluarkan kenyataan supaya pendaftaran Pas dibatalkan, mengambil sikap tunggu dan lihat tindakan lanjut daripada Dewan Pemuda dan Muslimat Pas.
Sebelum ini, Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Dr. Raja Ahmad Iskandar Raja Yaacob mendakwa Karpal cuba mencari jalan selamat dan terpaksa berbohong kepada pemimpin parti itu dengan menyalahkan media kononnya memutarbelitkan kenyataan beliau.
“Sejauhmana Karpal nak berbohong, biarlah dia berbohong… (tetapi) kita ada bukti cukup yang dia pernah keluarkan kenyataan menyarankan pendaftaran parti politik dan badan profesional berdasarkan agama serta kaum termasuk Pas dibatalkan kerana merbahayakan negara.
“Kita ada rakaman penuh sidang media berdurasi selama 24 minit 47 saat yang dibuat oleh Karpal di Pulau Pinang pada 5 November lalu. Hasil pengamatan kita, memang jelas beliau ada berkata seperti itu.
“Sehubungan itu, kita minta Karpal memohon maaf kepada Pas dan jangan lagi berdolak dalik atau menafikan perkara yang jelas berlaku,” katanya.
Namun, veteran DAP itu tetap menyalahkan media yang didakwanya cuba memutarbelit kenyataan beliau bagi tujuan hendak melaga-lagakannya dengan Pas.
“Saya tidak pernah menyarankan supaya Pas dibatalkan pendaftarannya, malah saya puji Pas kerana mewujudkan Dewan Himpunan Penyokong Pas yang disertai masyarakat berbilang kaum.
“Ini berbeza dengan UMNO, MCA dan MIC yang jelas sebagai parti rasis serta perlu dibatalkan,” jelas Karpal ‘membetulkan’ keadaan ketika diasak oleh Pas.
Bagaimanapun, penjelasan itu tidak diterima oleh Dewan Muslimat Pas yang turut mendesaknya supaya meminta maaf.
Dalam kenyataan melalui laman sosial Facebook, Dewan Muslimat itu menegaskan Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat perlu mengambil tindakan tegas terhadap pembohongan yang dilakukan oleh pemimpin veteran DAP itu.
“Dewan Muslimat mendesak agar Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat segera bersidang bagi menangani masalah ini sebelum tindakan lebih tegas diambil oleh pihak kami bersama Dewan Pemuda,” kata kenyataan itu.
Malah Dewan Muslimat Pas kesal dengan pendirian dan pembohongan Karpal dengan menganggap kenyataan itu akan melunturkan kredibiliti beliau di mata rakyat Malaysia khususnya umat Islam yang menyokong Pas.
MalaysiaGazette difahamkan, isu ini akan dibangkitkan oleh wakil sayap parti Pas pada muktamar tahunan parti itu Jumaat ini jika Karpal masih gagal berbuat demikian dalam masa terdekat.
Sayap parti itu memandang serius kenyataan Karpal yang disifatkan mereka sebagai tidak wajar kerana Pas, DAP dan PKR sudah bergabung sejak sekian lama dalam satu pakatan untuk melawan UMNO dan Barisan Nasional (BN).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan