Sabtu, 14 September 2013

DS NAJIB :Memperkasakan ekonomi orang Melayu tidak mengugat bangsa lain

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meminta rakyat supaya tidak salah sangka dan salah faham terhadap usaha pemerkasaan ekonomi Bumiputera yang dilaksanakan bukan dengan jalan memintas atau mengambil hak orang lain mahupun menafikan kepentingan sesiapa.
Sebaliknya, ia dilaksanakan selaras dengan hasrat kerajaan yang mahu terus mencipta serta menjana kekayaan baharu agar nikmat dan kemakmurannya dapat diraih dan dirasai oleh semua rakyat Malaysia secara adil dan saksama.
“Yang pasti! Kami lakukan apa yang adil, kami lakukan apa yang betul, dan kami buat apa yang saksama. Maknanya, kita tidak mempunyai apa-apa ‘nawaitu’ (niat) atau sekelumit pun rasa prejudis terhadap bangsa lain,” kata Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera di sini.
Beliau dengan tegasnya berkata kerajaan ini adalah kerajaan yang berhemah lagi bertanggungjawab ke atas seluruh lapisan rakyat, tanpa mengira latar belakang, sama ada Bumiputera atau bukan Bumiputera, Islam mahu pun bukan Islam.
Najib yang juga Menteri Kewangan, berkata sejarah telah membuktikan dalam pembangunan ekonomi negara, terutama sejak Dasar Ekonomi Baru dilaksanakan, bukan sahaja Bumiputera, bahkan semua rakyat Malaysia berkongsi nikmat, meraih manfaat bersama, hasil daripada pembangunan ekonomi negara.
“Jelasnya, ini telah kita lakukan bukanlah dengan mengambil, atau menidakkan hak sesiapa, tetapi sebenarnya melalui penciptaan kekayaan baharu dan penjanaan pertumbuhan ekonomi yang mampan,” katanya.
Perdana Menteri berkata sejak Merdeka, semua perancangan serta dasar ekonomi  Bumiputera telah digubal berasaskan perhitungan komposisi masyarakat majmuk tersebut.
Maka, Bumiputera sebagai teras kepada agenda nasional, tidak boleh dinafikan oleh sesiapa dan sebarang prakarsa bersifat nasional yang tidak mengambil kira atau mengabaikan agenda Bumiputera, adalah tidak adil dan saksama, kata Perdana Menteri.
Beliau berkata perkara ini sangat mustahak untuk difahami dengan sebaik-baiknya oleh semua pihak iaitu kerajaan sentiasa menginsafi dan beringat-ingat tentang agenda Bumiputera sebagai agenda nasional.
“Ini kerana, jika sekiranya kaum majoriti Bumiputera tidak terbela dan berasa diri mereka terancam atau dipinggirkan, negara tidak akan mengecapi keamanan, kestabilan, dan kita tidak mungkin mencapai impian menjadi negara maju yang sejahtera dan sentosa seperti yang didambakan pada tahun 2020,” kata Najib.
Najib turut menyelar sesetengah pelaku politik yang tidak sudah-sudah menyalakan api perkauman sehingga menggerunkan dan memesongkan pemikiran rakyat.
“Suka tidak suka, seandainya tidak berhati-hati dan terpengaruh dengan sentimen pihak luar, melalui dalang dan petualang dalaman ini, maka, tempiasnya akan terpercik kepada kita. Sekiranya dibiarkan dan tidak dibendung, Malaysia sebagai sebuah negara bangsa yang berdaulat lagi Merdeka pada akhirnya akan musnah dan membungkam,” kata Najib.


34 TOUCH POINTS MAJLIS PEMERKASAAN EKONOMI BUMIPUTERA

34 TOUCH POINTS
MAJLIS PEMERKASAAN EKONOMI BUMIPUTERAJABATAN PERDANA MENTERI
14 SEPTEMBER 2013
www.pmo.gov.my
Fokus Pemerkasaan Pertama : MENDAYA MODAL INSAN BUMIPUTERA
Para 34
1. Memperbanyakkan Program Latihan Peningkatan Kemahiran
Para 35
2. Mempergiatkan Program Latihan Semula atau Re-Skilling.
Para 36
3. Mempergiatkan Skim Latihan 1Malaysia, Program Kebolehpasaran Graduan dan Program Peneraju Skil.
Para 37
4. Memperluaskan Program Pendidikan Lepas Ijazah melalui Jabatan Perkhidmatan Awam, MARA dan agensi berkaitan.
Para 38
5. Program Peneraju Profesional di bawah Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (YPPB) diperluaskan.
Fokus Pemerkasaan Kedua : MEMANTAPKAN PEMILIKAN EKUITI BUMIPUTERA DALAM SEKTOR KORPORAT
Para 39
6. Melancarkan Amanah Saham Bumiputera 2 (ASB2) dengan suntikan pelaburan 10 bilion unit saham.
Para 40
7. Mentransformasikan program Skim Jejak Jaya Bumiputera (SJJB) melalui Ekuiti Nasional Berhad (EKUINAS).
Fokus Pemerkasaan Ketiga : MEMPERKUKUH PEMILIKAN ASET BUKAN KEWANGAN BUMIPUTERA

Para 42
8. Memperkemaskan Yayasan Wakaf Malaysia

Para 43
9. Memperkukuhkan peranan institusi-institusi hartanah seperti Pelaburan Hartanah Berhad(PHB), Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) bagi membangun dan memperoleh hartanah komersil dan industri.
Para 44
10. Memperbanyakkan pembinaan rumah mampu milik kepada Bumiputera melalui Syarikat Perumahan Rakyat 1 Malaysia (PR1MA) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dengan Kerajaan Negeri.
Para 46
11. Perkukuhkan UDA Corporation untuk membangunkan hartanah.
Para 47
12. GLC yang terlibat dalam pembangunan hartanah memberi penekanan kepada pembangunan hartanah Bumiputera.
Fokus Pemerkasaan Keempat: MEMPERHEBATKAN KEUSAHAWANAN DAN PERNIAGAAN BUMIPUTERA
Para 48
13. Memperkuatkan peranan agensi pembangunan usahawan Bumiputera seperti Amanah Ikhtiar Malaysia, TEKUN Nasional, MARA dan PUNB.
Para 50
14. Menambah pembiayaan pinjaman Amanah Ikhtiar Malaysia sebanyak RM300 juta.
Para 51
15. Menambah pembiayaan pinjaman kepada TEKUN Nasional sebanyak RM700 juta.
Para 52
16. Mengarahkan kementerian dan agensi mengukuhkan Program Pembangunan Vendor

Para 53
17. Memastikan jangkamasa kontrak dan konsesi vendor disesuai dengan tempoh bayar balik pinjaman bank.
Para 54
18. Melonjakkan program VDP di bawah PETRONAS, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia (TM), Axiata dan United Engineers (Malaysia) Berhad (UEM)
Para 55
19. Ketua Pegawai Eksekutif GLC menetapkan sasaran penyertaan Bumiputera sebagai KPI.
Para 56
20. Program VDP PETRONAS RM20 bilion setahun dan 22 skop kerja untuk Bumiputera.
Para 58
21. GLC dan GLIC menerajui usaha mengwujudkan konsortium syarikat Bumiputera dalam sektor rangkaian perbekalan.
Para 59
22. Mempergiatkan program penswastaan perkhidmatan Kerajaan secara terpilih
Para 60
23. Memperluaskan dasar carve out.
Para 62
24. Membina satu komuniti baru entrepreneur Bumiputera.
Para 63
25. Memperkenalkan Skim Usahawan Permulaan Bumiputera (SUPERB).

Fokus Pemerkasaan Kelima: MEMANTAPKAN EKOSISTEM PENYAMPAIAN PERKHIDMATAN
Para 66
26. Mewujudkan ekosistem penyampaian perkhidmatan yang cekap, komprehensif dan konstraktif
Para 67
27. Mewujudkan Unit Pembangunan Bumiputera (UPB) di semua kementerian.
Para 79
28. Meningkatkan enrolmen pelajar UiTM kepada 250,000 menjelang 2020.
29. Menubuhkan beberapa kampus baru UiTM.
Para 80
30. Menubuhkan dana pendidikan MARA berjumlah RM1 bilion.
Para 81
31. Membestarikan TERAJU
Para 82
32. Mewujudkan komuniti entreprenuer Bumiputera.
33. Meletakkan INSKEN dan SUPERB di bawah TERAJU
Para 83
34. Menubuhkan Majlis Ekonomi Bumiputera atau MEB bagi menggantikan Majlis Tindakan Agenda Bumiputera

Tiada ulasan:

Catat Ulasan