Sabtu, 20 Julai 2013

NYARIS TERTIPU JANJI ''DOKTOR''

Lina membuat pendedahan aktiviti lelaki yang dipercayai menyamar sebagai doktor memberi tawaran kerja dengan gaji lumayan.
RAUB – Tawaran gaji lumayan dengan pelbagai kemudahan bekerja di ibu kota nyaris menjerat dua wanita menjadi mangsa lelaki yang mendakwa dirinya sebagai ‘doktor’.
Hanya mahu dikenal sebagai Cik Lina, wanita berusia 22 tahun ini hampir mengikut kata hati untuk terima pelbagai tawaran lelaki berkenaan.
Menurutnya, lelaki itu mendekatinya dan rakan dengan memperkenalkan diri sebagai Dr Haris Fernandez yang mempunyai empat cawangan klinik di Kuala Lumpur.
“Dia berperwatakan sederhana dalam usia lewat 40an atau awal 50an dan memakai cermin mata serta mempunyai raut wajah seperti kacukan atau Nasrani.
“Mendakwa ada kereta BMW tetapi ditinggalkan di Kuala Lumpur dan hanya datang ke Raub dengan menaiki Perodua Viva berwarna perak atau Proton Saga model lama,” katanya.
Cik Lina berkata, lelaki itu menawarkannya bekerja di sebuah klinik miliknya tetapi perlu menghadiri kursus terlebih dahulu selama tiga bulan.
Katanya, dia dan rakan ditawarkan elaun sebanyak RM900 sepanjang berkursus dan gaji RM1,200 sebaik memulakan kerja.
“Bagi mengukuhkan lagi kepercayaan kami kepadanya, lelaki ini mendakwa pernah bekerja sebagai Timbalan Pengarah Hospital Raub dan berhasrat untuk membina Hospital Bersalin dekat Jalan Tan Tiong di sini.
“Pada awalnya kami percaya tetapi selepas mendapatkan pandangan keluarga dan rakan lain, terus kami batalkan hasrat kerana apabila difikirkan lebih teliti kelihatan banyak perkara meragukan,” katanya.
Dia berkata, berdasarkan cerita yang didengarinya, sudah ramai wanita atau anak gadis yang pernah didekati lelaki ini dengan cara yang sama sejak Mac hingga akhir bulan lalu.
Menurutnya, terdapat juga dakwaan mengatakan lelaki ini mengeluarkan kata-kata tidak sopan berunsur lucah dalam usaha memancing mangsa.
“Lelaki yang fasih berbahasa Melayu ini mengaku duda dan mempunyai seorang anak yang kini berada di London.
“Ketika menawarkan kami kerja, dia juga berkata bahawa kami berpeluang menjadi isterinya,” katanya.
Cik Lina berkata, berdasarkan cerita orang sahaja sudah membuatkan dia ketakutan dan terus tidak jadi bekerja dengannya.
“Syukur kami selamat. Saya dan rakan kini tidak lagi bekerja dan tinggal bersama keluarga di sini,” katanya yang sebelum itu bekerja di sebuah salon ketika didatangi lelaki berkenaan.
Sinar Harian difahamkan mereka masih belum membuat laporan polis tetapi berharap agar gadis dan wanita di daerah ini supaya lebih berhati-hati dan elakkan daripada menjadi mangsa.
Sinar

Tiada ulasan:

Catat Ulasan