MIRI - Majlis Latihan Khidmat Negara akan menjalankan siasatan terperinci berhubung kes seorang pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) melahirkan bayi di dalam tandas di sebuah kem semalam.
Pengerusinya, Datuk Dr. Tiki Lafe berkata, antara perkara yang akan diteliti ialah bagaimana seorang bakal pelatih yang mengandung boleh 'terlepas' ketika pemeriksaan kesihatan.
Prosedur menetapkan seseorang bakal pelatih yang disahkan mengandung oleh doktor perubatan tidak akan dibenar mengikuti latihan PLKN itu, katanya kepada pemberita selepas penutupan latihan PLKN di Kem PLKN Miri, di sini hari ini.
Semalam, seorang pelatih yang mengikuti latihan di Kem Sri Ledang, Segamat, Johor dilapor melahirkan bayi lelaki di dalam tandas kem itu kira-kira pukul 3 pagi. Kejadian disedari pihak pengurusan kem yang kemudian menggegaskan remaja itu dan bayinya ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah.
Bayi seberat 2.7 kilogram itu bagaimanapun meninggal dunia tidak lama kemudian, sementara keadaan remaja berusia 18 tahun tersebut dilapor tidak membimbangkan.
Mengulas lanjut, Tiki tidak menolak kemungkinan doktor atau jururawat yang menjalankan pemeriksaan kesihatan ke atas remaja terbabit terlepas pandang. "Sewaktu mengikuti latihan PLKN pula, pelatih sendiri perlu memaklumkan kepada pembantu perubatan (MA) dan jururawat yang ditugaskan di setiap kem sekiranya mengandung dan bukan merahsiakannya,” kata Tiki.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan