Ahad, 26 Mei 2013

Empat soalan ditanya pada hari Kiamat !!!


Mati itu pasti, kiamat itu pasti... bila masanya, bagaimana keadaan kita waktu itu hanya Allah yg maha mengetahui..... tingkatkan amalan utk bekal kita bertemuNYA nanti...Amin...Peringatan untuk Admin dan saudara2ku sekalian.

Rasulullah dalam hadis itu mengingatkan umat Islam bahawa, di hadapan mahkamah pengadilan Allah, setiap daripada kita akan ditanya empat perkara, iaitu umur, ilmu, harta dan tubuh badannya. Dan kita tidak akan dapat berganjak, selagi tidak menjelaskan setiap persoalan itu.

Pertama, mengenai umur. Nikmat umur yang dikurniakan Allah selama puluhan tahun, di manakah kita menghabiskannya? Katakan umur ketika hidup di dunia 70 tahun, berapa tahunkah yang diperuntukkan untuk melaksanakan amal salih bagi mengaut ganjaran pahala? Bagaimanakah, nasib kita sekiranya umur itu lebih banyak dibazirkan untuk berbuat maksiat dan dosa, sedangkan umur yang digunakan untuk beramal ibadat hanya sekitar 10 tahun? Itu pun selepas berada pada penghujung usia yang senja.

Ke manakah perginya baki 60 tahun umur kita itu? Adakah kita yakin akan dapat mengecapi nikmat syurga dengan nilai pahala selama 10 tahun, sedangkan longgokan dosa yang kita kumpul selama 60 tahun pula begitu tinggi?

Kedua, mengenai ilmu. Bagaimana jawaban kita jika ditanya mengenai ilmu? Apakah tanggungjawab terhadap ilmu yang kita miliki sudah kita tunaikan? Banyak ilmu yang kita tahu, tetapi adakah ia diamalkan?

Kita tahu membezakan perbuatan baik dan buruk, tetapi mengapa kita masih berminat dengan sifat mazmumah (keji)? Kita ada ilmu tetapi mengapa tidak mendidik, membimbing, menegur atau menasihati orang lain apabila melihat mereka berbuat kemungkaran? Mengapa kita tidak menyebarkan kepada orang lain sesuatu ilmu yang kita ketahui?

Ketiga, kita juga akan disoal mengenai harta benda yang kita miliki. Dari sumber manakah kita peroleh harta itu? Adakah daripada punca yang halal atau haram? Ke jalan manakah pula kita belanjakan harta itu? Ke jalan kebajikan atau kemungkaran?

Rasulullah bersabda, maksudnya: “Setiap daging yang tumbuh dari sumber yang haram, maka api neraka yang lebih layak baginya.

Akhirnya, kita akan ditanya mengenai jasad atau tubuh badan kita. Apakah yang kita lakukan dengan tubuh yang sihat dan kuat ini? Adakah kita mensyukuri mata, telinga, mulut, tangan, kaki dan anggota badan yang lain dan menggunakannya ke jalan yang diredai Allah? Atau kita ingkar nikmat pancaindera itu dan reda dimurkai-Nya?

Itulah empat soalan yang bakal dihadapkan kepada kita untuk dijawab, berdasarkan amalan kita. Semoga kita berjaya menjawabnya dengan bantuan amal salih, keikhlasan ibadat, dan sedekah jariah di dunia.

Justeru, marilah kita lakukan muhasabah diri supaya kita tergolong ke dalam kumpulan yang berjaya melalui ujian itu.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan