Sabtu, 6 April 2013

JIKA PAS KALAH: KATA MAT SABU ARAB SPRING AKAN BERLAKU JIKA PILIHANRAYA TAK ADIL WALHAL SPR TELAH MELAKUKAN SEMUA TUNTUTAN BERSIH !!!!



Saya ingin menyentuh satu isu yang berlaku dalam negara, iaitu demonstrasi. Berlaku pertembungan di antara dua fatwa; Majlis Fatwa Kebangsaan dan fatwa Tuan Guru Nik Abdul Aziz. Tuan Guru Nik Abdul Aziz pernah mengeluarkan fatwa wajib menyertai demonstrasi Bersih atas dalil al-amru bil ma’ruf wan nahyu ‘anil munkar (menyuruh kepada kebaikan dan melarang kemungkaran).

Menurut beliau, menyuruh kebaikan bermaksud meminta agar bersih dalam pilihanraya, tidak ada rasuah dan korupsi, manakala melarang kemungkaran bererti melarang rasuah dan pilihan raya kotor. Maka dari situ mereka melihat dari pandangan Tuan Guru Nik Abdul Aziz bahawa demonstrasi adalah cara untuk menyuruh berbuat baik dan melarang kejahatan dan keluarlah fatwa demonstrasi adalah wajib.


Setelah berlaku demonstrasi tersebut, Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa haram merusuh, melakukan kerosakan dan sebagainya. Kita yang melihat isu ini bagaimana?

Adakah kita mengikut majlis fatwa kerana dia adalah majlis fatwa, ataupun bagi kelompok tertentu mengikut fatwa Tuan Guru Nik Abdul Aziz kerana cenderung kepada parti yang diminatinya? Ataupun orang UMNO menyokong majlis fatwa kerana fatwa tersebut kelihatan seperti cenderung kepada kerajaan?

Ini tindakan yang salah. Sepatutnya kita semua kembali kepada cara yang Nabi ajarkan. Apabila berlaku perselisihan, jalan penyelesaiannya adalah kembali kepada petunjuk Nabi dan para sahabat. Lihat adakah Nabi pernah atau tidak berdemonstrasi, kerana Nabi SAW merupakan insan yang paling banyak dan paling kuat diduga dan diuji oleh Allah SWT bahkan sahabat Nabi RA pernah bertanya kepada Rasulullah dalam satu riwayat,

قلت يا رسول الله أي الناس أشد بلاء ؟ قال : الأنبياء ، ثم الأمثل فالأمثل
Maksudnya: Aku bertanya, “Wahai Rasulallah, siapakah manusia yang paling teruk diuji?” Jawab baginda, “Para Nabi, kemudian yang semisal mereka dan kemudian yang semisalnya.”
Bahkan disebut dalam hadis, demam baginda SAW menyamai demam dua orang lelaki.
Nabi diuji oleh golongan-golongan Arab jahiliyah di Makkah bukan dengan ujian atau provokasi yang biasa tetapi dengan ujian yang dahsyat. Ujian di zaman Nabi SAW adalah ujian yang menyentuh emosi tatkala melihat sahabat-sahabat disiksa dan dibunuh di hadapan mata. Keluarga Yasir, Bilal Ibn Rabah disiksa di hadapan mata Nabi SAW, Khabbab ibn Al Arat datang kepada Nabi SAW dalam keadaan badannya dipenuhi luka-luka kesan siksaan majikannya dan beliau bertanya kepada Nabi,
ألا تستنصر لنا ، ألا تدعو الله لنا ؟
“Tidakkah engkau memohon pertolongan daripada Allah untuk kami, tidakkah engkau berdoa untuk kami?” (riwayat Al Bukhari)
Lalu adakah Nabi mengajak sahabat-sahabatnya yang lain berdemonstrasi? Ini bukan penyelesaian dan kaedah Nabi SAW serta para sahabat.

Lalu pendokong demonstrasi menggunakan beberapa contoh pendalilan. Berkumpul di Arafah dikatakan demonstrasi. Itu bukan demonstrasi, itu bukan tunjuk perasaan, atau maki hamun orang, mengatakan polis anjing dan sebagainya. Anak-anak polis setujukah bapa-bapa mereka digelar anjing kerajaan?

Saya tidak mengatakan kerajaan sempurna seperti juga saya tidak mengatakan parti yang menyandarkan gerakan mereka kepada Islam sebagai sempurna. Kedua-duanya tidak sempurna dan sama-sama ada kekurangan. Jadi cara penyelesaian kepada kekurangan ini adalah kembali kepada petunjuk Nabi SAW dan para sahabat.

Kemudian mereka menggunakan peristiwa Umar Al Khatthab memeluk Islam dan keluar beramai-ramai di jalan untuk mengharuskan demonstrasi, di mana Umar Al Khatthab berkata, “Siapa yang ingin isterinya menjadi balu dan anak menjadi anak yatim maka halanglah aku daripada memeluk Islam.” Itu bukan tunjuk perasaan. Islam tidak mengajar kita tunjuk perasaan, sebaliknya Islam mengajar kita sabar. Sebab itu bersabda Nabi SAW,
من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فاليقل خيرا أو ليصمت
Maksudnya: “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan beriman kepada Hari Akhirat maka hendaklah bercakap perkataan yang baik ataupun diam.” (riwayat Al Bukhari dan Muslim)
Islam tidak mengarajari kita menyebut perkataan-perkataan yang tidak baik sebaliknya Islam mengajari kita agar menahannya dan tidak mengucapkannya. Kebiasaan yang melakukan demonstrasi adalah kumpulan minoriti. Tetapi ketika Nabi SAW dan sahabat di Makkah mereka adalah kumpulan minoriti, majoritinya adalah arab jahiliyah. Pun begitu Nabi tidak pernah berdemonstrasi jadi mengapa kalian melakukannya? Petunjuk siapakah yang kalian ikut?


Bahkan setelah kekuatan Islam terbina di Madinah Al Munawwarah, dan Islam adalah majoriti, Nabi tidak juga berdemonstrasi. Nabi tidak berdemonstrasi di perkampungan Yahudi, tidak berdemonstrasi di Makkah, sebaliknya Nabi membuat pembukaan kota Makkah tanpa menumpahkan darah. Begitulah cara Nabi.
Bagaimana pula dengan para sahabat? Adakah mereka pernah berdemonstrasi?


Demonstrasi, Syiah, dan Khawarij


Sejarah demonstrasi bermula pada zaman Utsman bin ‘Affan, tetapi bukan Utsman yang melakukannya. Yang melakukannya adalah puak-puak syiah dan khawarij. Maka kita tidak hairan apabila ada kelompok-kelompok tertentu di mana syiah bersama dengan mereka di dalam demonstrasi. Syiah memang sangat seronok dengan demonstrasi kerana ia menimbulkan provokasi dan menyebabkan orang bersangka buruk terhadap pemerintah.


Saya tekankan sekali lagi, kita tidak pernah berkata pemerintah sempurna, bebas daripada salah dan silap. Bahkan Nabi menyatakan,

“Setiap anak Adam pasti melakukan kesalahan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan adalah orang yang bertaubat.” (riwayat Imam al-Tirmizi, Ibn Majah, dinilai hasan oleh al-Albani).
Setiap anak Adam pasti ada kesalahan bermakna kita semua mempunyai kesalahan termasuk Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Mursyidul Am PAS, malah semua pasti ada kesalahan. Apabila semua yang ada kesalahan ini membentuk kelompok masing-masing, kesalahan pasti wujud dalam kelompok atau parti tersebut. Tidak mungkin ia bersih dan sempurna.

Jadi bagaimanakah penyelesaiannya?

Sebab itu kita lihat semula kepada fatwa dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan. Bukan kerana ia datang dari majlis fatwa maka kita wajib ikut. Tidak, tetapi kita lihat apa penghujahan dan pendalilan yang diberikan oleh majlis fatwa. Mereka membawa dalil cara menyelesaikan masalah, dalil Islam cintakan keamanan dan membenci rusuhan, mereka membawa kaedah fiqah “menolak keburukan yang akan berlaku lebih utama daripada mencapai kebaikan” sebab rusuhan seperti itu tidak dapat dipastikan sama ada ia dapat dikawal atau tidak. Buktinya ia sememangnya tidak terkawal.


Apabila manusia berkumpul dalam keadaan marah, emosi, ada yang memaki, seterusnya akan timbul perkataan yang menyebabkan orang marah. Contohnya seorang berkata, “polis langgar orang! ada orang di bawah kereta polis!” Bagaimana mungkin orang tidak pergi membelasah polis? Walhal di bawah kereta polis tidak ada apa-apa. Berlakulah insiden belasah polis, belasah orang yang hendak menyelamatkan polis, melompat atas kereta polis, dan sebagainya.


Unit amal, kalau hendak beramal mestilah dengan amalan soleh.

فمن كان يرجو لقاء ربه فليعمل عملا صالحا ولا يشرك بعبادة ربه أحدا
Maksudnya: “Barangsiapa mengharap perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia beramal dengan amalan soleh dan janganlah ia mensyirikkan sesuatu pun dalam beribadat kepada Tuhannya.” (surah Al Kahfi, 18: 110)
Apakah yang dimaksudkan dengan amal soleh? Ditafsirkan di dalam firman Allah SWT yang lain,
الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلاً وَهُوَ الْعَزِيزُ الْغَفُورُ
“Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa di antara kamu yang mempunyai amal yang terbaik.” (surah Al Mulk, 67: 2)
Apakah amal yang terbaik? Amal terbaik bukan merempuh orang dan berada di barisan hadapan sekali ketika merempuh polis. Kita menyangka unit amal tugasnya adalah untuk mempertahankan orang ramai, atau menyuruh orang ramai agar bersabar. Itu barulah dinamakan beramal. Ini tidak, mereka yang di depan sekali merempuh. Perkara seperti ini perlu kepada muhasabah.

Adapun erti ahsanu ‘amala (amalan terbaik) menurut Imam Fudhail bin ‘Iyadh ialah sesuatu yang bertepatan dengan sunnah Nabi SAW.


Adakah apa yang dilakukan itu merupakan sunnah Nabi; provokasi, melanggar pemerintah, merempuh sesuka hati, memaki hamun? Di manakah adab-adab menjaga hak-hak jalan yang dituntut oleh Islam apabila Nabi SAW berkata kepada para sahabat yang duduk berbincang di tepi jalan,

“Hendaklah kamu menjauhi sikap duduk-duduk di tepi jalan.” Sahabat Nabi berkata, “Ya Rasulallah, kami sedang berbicara tentang urusan agama kami.” Kata Nabi “Tunaikanlah hak-hak jalan.” Sahabat bertanya, “Apakah hak-hak jalan?” kata Nabi, “Menjawab salam, menjaga pandangan, menahan diri dari melakukan kerosakan, menyuruh kepada kebaikan dan melarang kemungkaran.”
Adakah dalam demonstari itu mereka menjaga pandangan dan dapat memastikan tidak akan berlaku sebarang kerosakan? Tiada siapa yang mampu pastikan. Apabila tidak mampu pastikan maka jauhilah.

Lelaki yang menyelamatkan polis telah melakukan amalan baik tetapi dia dipukul sehingga cedera kepalanya. Dia melakukan amar ma’ruf yang lain melakukan munkar, menyokong dan memukulnya beramai-ramai.

Saya tidak berkata tentang demonstrasi BERSIH sahaja, bahkan semua demonstrasi tidak mendatangkan manfaat. Duit dibazirkan, masa dibuang pergi menjerit, dan kesannya tiada apa pun yang berubah. Banner dan risalah dicetak banyak-banyak kemudian mereka sendiri bakar dan koyak.


Itu hanyalah sekadar satu contoh. Kelompok-kelompok yang melaungkan kami menegakkan Islam, memperjuangkan Islam, tetapi mereka tidak menggunakan petunjuk Nabi dan para sahabat untuk menyelesaikan masalah.
Wallaahua’lam.
Ustaz Fathul Bari Mat Jahya

Tiada ulasan:

Catat Ulasan