Selasa, 2 April 2013

Dakwaan Anwar Terhadap Bebanan Hutang Negara Disangkal: DS Ahmad Husni Hanadzlah


MENTERI Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menyangkal dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa kononnya negara berhadapan bebanan hutang yang sedikit ketika beliau memegang portfolio Menteri Kewangan.

Menurutnya, rakyat sepatutnya berbangga dengan pelaksanaan pelan transformasi ekonomi yang diusahakan oleh kerajaan kerana mendapat perhatian di mata dunia dengan mencatat pertumbuhan ekonomi sebanyak 5.4 peratus.

Beliau berkata, sambutan dan minat negara Barat seperti United Kingdom dan Amerika Syarikat dalam persidangan ekonomi anjuran Malaysia untuk mempelajari sistem pengurusannya cukup membuktikan keupayaan negara menerajui ekonomi negara.

“Masa Anwar pegang jawatan Menteri Kewangan tiada siapa ( negara luar) nak tengok Malaysia ketika itu kerana tiada cabaran,” katanya.

“(Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) tidak sewajarnya membuat perbandingan dengan zaman beliau menjadi Menteri Kewangan dahulu berikutan situasi ekonomi negara kini jauh berubah mengikut peredaran masa dan dilihat waktu paling mencabar dalam sejarah ekonomi dunia.

“Dulu masa Anwar jadi Menteri Kewangan mana ada krisis ekonomi global jadi situasi dulu dia (Anwar) tidak boleh bandingkan dengan sekarang.. tempoh 20 tahun memang berbeza.

“Dulu kita tiada apa yang dipanggil ’economy creative’, ‘value management’ dan ‘innovation’. Jadi masa telah berubah dari tahun 90-an hingga 2013,” katanya.

Beliau bercakap demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyampaian Surat Kelulusan Pembinaan Surau Baru Taman Meru 2C, dekat Ipoh, semalam.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan