Segala artikel yang disiarkan di laman blog ini merupakan pandangan peribadi penulis dan ianya tidak mewakili mana-mana parti, orginasasi atau mana-mana pertubuhan. Jika berlaku sebarang kecelaruan emosi ketika membaca atau menyaksikan bahan-bahan yang dipaparkan ianya di luar tanggungjawab penulis. Ingin berkongsi artikel dan maklumat yang menarik emelkan kepada : Koboimacho@gmail.com"

NUFFNANG

TRANSLATE

Isnin, 7 April 2014

ULTRA KIASU,TERMASUK PEMIMPIN PAS,NAKAL BOLEH,JANGAN JAHAT ?

BERHATI HATILAH BILA MENGGUNAKAN KEMUDAHAN INTERNET KERANA RAMAI YANG MENYALAHKAN KEMUDAHAN INI UNTUK MENCARI KEUNTUNGAN POLITIK
ARTIKEL saya minggu lalu dijadikan sasaran untuk menghentam saya oleh ultra kiasu Melayu yang mendakwa memperjuangkan Islam, termasuk pemimpin Pas. Ingatan saya, nakal boleh, tapi jangan jadi jahat.

Baca betul-betul artikel saya. Tulisan saya jelas, banyakkan berselawat ke atas Nabi, bukan puja Nabi. Tiba-tiba ultra kiasu mengulas, berselawat berlebihan boleh membawa pemujaan. Ayat mana saya mengatakan demikian?

Saya pula dikaitkan dengan Kasim Ahmad, Wahabi dan Salafi. Nauzubillah. Saya tidak pernah terfikir wajah-wajah ini apabila menulis.

Jauh sekali dalam pemikiran ini untuk menidakkan sesuatu yang sememangnya disuruh oleh ALLAH SWT supaya berselawat dan mengucapkan salam ke atas Junjungan Mulia Muhammad SAW, malah berselawat beramai-ramai sama ada dalam sesebuah majlis amatlah disokong kerana ia membuktikan perpaduan ummah Rasullah SAW dalam mendukung serta memperbesarkan syiar Islam.

Akan tetapi, melalui pandangan serba dhaif daripada saya, alangkah indah, molek dan sempurnanya jika di samping berselawat ke atas Baginda SAW, ia ditambah dan diselarikan bersama dengan Zikrullah yakni memperingati ALLAH SWT kerana pegangan akidah umat Islam pastinya akan mudah goyah dan makin terhakis sekiranya elemen tauhid dan akidah dalam diri semakin pudar dan tidak ditekankan.

Insan perlu sentiasa dididik dan diingatkan supaya mengenal sifat-sifat ALLAH SWT, nama-namaNya yang terpuji dan teragung, dan juga perlu ditarbiyah supaya mengejar pahala kebaikan dan menjauhi dosa kemurkaan ALLAH SWT.

Seikhlasnya, semoga ALLAH SWT mengampuni kekurangan dan menambah ganjaran, saya hanya mahukan masyarakat kita memahami akidah dan tauhid membesarkan ALLAH SWT. Umpamanya dengan memahami sifat-sifat ALLAH dan kekuatan lebih 99 namaNya amatlah penting kerana itulah paksi utama yang membentuk peribadi seorang Muslim sejati, kemudian perlu disempurnakan dengan pengamalan syariat yang disampaikan oleh utusanNya Nabi Muhammad SAW, dan seterusnya dihiaskan dengan akhlak-akhlak Islamiyah dan nilai-nilai Islam yang menjadikan insan bertakwa.

Berkali-kali saya ulang, dengan berpegang kepada akidah ahli Sunnah wal Jama’ah, saya menyokong sepenuhnya penganjuran program Selawat Perdana tersebut dan sangat teruja melihat perpaduan ummah dalam memuji Junjungan Mulia dan menegakkan syiar Islam. Jika tidak, masakan saya dan rakan Pencetus Ummah yang lain, begitu bersemangat untuk hadir memeriahkan majlis tersebut, di samping mengejar ganjaran pahala berselawat dan memuji Baginda SAW.

Saya cuma sarankan beberapa penambahbaikan, bukan menolak Selawat Perdana tersebut. Perbanyakkan juga aktiviti membesarkan ALLAH, agar dapat menzahirkan keindahan dan keseimbangan sebenar dalam agama Islam. Hakikatnya, yang terpenting dalam kita berselawat dan mengambil Rasullah SAW sebagai Junjungan Mulia, kita haruslah menitikberatkan pengamalan sunnah Baginda SAW yang semakin lama jauh dan pudar dalam kalangan umat akhir zaman ini.

Bukan apa, memahami budaya dan cara hidup Melayu, ada segelintir yang taksub, sehingga tidak boleh ditegur. Ingatlah, Nabi SAW melarang kita memujinya berlebih-lebihan seperti dilakukan orang Kristian terhadap Nabi Isa. Ambil ingatan ini.  

“Janganlah kalian berlebih-lebihan dalam memujiku, sebagaimana orang-orang Nasrani berlebih-lebihan dalam memuji Isa bin Maryam. Aku hanyalah seorang hamba, maka katakanlah: Abdullah (hamba ALLAH) dan Rasulullah (Utusan ALLAH)” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Baca juga al-Quran yang bermaksud: Katakanlah: “Aku hanyalah manusia biasa sepertimu yang diwahyukan kepadaku, sesungguhnya Tuhanmu hanyalah Tuhan yang satu. Maka siapa yang ada mengharap perjumpaan Rabb-nya, maka hendaklah dia beramal dengan amal yang soleh dan janganlah mempersekutukan seorang pun mengabdi kepada Rabb-nya. (Surah 18, ayat 110)

Walaupun Nabi melarang memuji dan memujanya tetapi Nabi menggalakkan umatnya berselawat atasnya sebagai tanda kasih umatnya pada Nabi SAW dan ALLAH SWT tetapi jangan sampai berlebih-lebihan sehingga melebihi kasih kepada ALLAH SWT. Dan dianggap bakhil barang siapa yang berat mulutnya untuk berselawat ke atas Baginda SAW.

Saya harap penjelasan ini meleraikan kekusutan yang berlaku.

Apa yang penting, saya hanya memperkatakan perkara yang benar.

REDHUAN TEE ABDULLAH
Catat Ulasan