Segala artikel yang disiarkan di laman blog ini merupakan pandangan peribadi penulis dan ianya tidak mewakili mana-mana parti, orginasasi atau mana-mana pertubuhan. Jika berlaku sebarang kecelaruan emosi ketika membaca atau menyaksikan bahan-bahan yang dipaparkan ianya di luar tanggungjawab penulis. Ingin berkongsi artikel dan maklumat yang menarik emelkan kepada : Koboimacho@gmail.com"

NUFFNANG

TRANSLATE

Khamis, 21 November 2013

Hudud: Muktamar medan terbaik dapatkan sokongan

HUDUD-Muktamar Pas ke-59 yang bermula esok dilihat sebagai platform terbaik untuk kerajaan Kelantan bagi mendapatkan sokongan padu serta pandangan anggota parti berhubung pelaksanaan hukum hudud, demikian menurut pemerhati politik.
   
Datuk Mohd Nakhaie Ahmad, yang juga bekas Naib Presiden Pas berkata, perwakilan muktamar seharusnya diberi ruang untuk membincangkan dan membahaskan hukum hudud yang diperjuangkan Pas bagi mendapat input berguna untuk pelaksanaannya kelak.
   
Persoalannya, adakah pemimpin Pas yang mewakili kerajaan Kelantan akan berani mengutarakan topik hangat itu kepada lebih 1,300 perwakilan yang menghadiri muktamar tiga hari di Shah Alam untuk mendapatkan maklum balas mereka?
   
Atau, isu berkenaan dibiarkan berlalu sepi dan hanya memfokuskan kepada pemilihan pucuk pimpinan parti, peranan parti dalam pakatan Pas-DAP-PKR serta persiapan ke arah Pilihan Raya Umum ke-14?
  

AGENDA POLITIK

   
Ketika mengulas persoalan itu Mohd Nakhaie berkata, beliau yakin isu berkaitan hukum hudud tidak akan dibincangkan secara mendalam pada muktamar kali ini, sebaliknya perhatian tertumpu kepada pemilihan pucuk pimpinan parti.
   
"Isu hudud ini hanya timbul ketika pada masa-masa tertentu seperti nak pilihan raya atau nak muktamar. Ini semua untuk politik sahaja," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.
   
Kerajaan Pas Kelantan juga dilihat tidak lagi mempunyai alasan untuk tidak melaksanakan hukum Islam itu memandangkan prasarana untuk melaksanakannya telah tersedia.
   
Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad baru-baru ini dilapor sebagai berkata bahawa Mahkamah Syariah di negeri itu sudah mampu untuk menguruskan pelaksanaan undang-undang hudud kerana segala prasarana termasuk Kompleks Mahkamah Syariah Negeri yang baharu, bernilai RM25.8 juta, sudah lengkap termasuk mempunyai hakim untuk menguruskan kes.
   
Kerajaan Pas Kelantan meluluskan Enakmen Jenayah Syariah II, yang melibatkan hukum hudud, pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) 1993 tetapi sehingga kini ia masih tidak dilaksanakan.
   
Selain Kelantan, Terengganu turut meluluskan Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) pada 2002 semasa pentadbiran kerajaan Pas.
     

KESAN KERJASAMA
   

Isu pelaksanaan hukum hudud menjadi panas di kalangan parti pakatan apabila Pas dan DAP sering bertelagah berhubung isu hudud.
   
Namun, sejak bersama sekutunya, Pas tidak lagi mengangkat hukum hudud sebagai isu utama dan sebaliknya menumpukan kepada kerjasama dan perkara yang termaktub dalam Buku Jingga, pelan pentabiran jangka panjang pakatan berkenaan.
   
Banyak pihak kini sedang menunggu dengan penuh minat untuk melihat sama ada Pas benar-benar serius untuk melaksanakan hukum hudud atau hanya sekadar retorik politik demi meraih sokongan rakyat.
   
Pas pastinya menerima kesan dalam hubungan 'tahaaluf siyasi' (permuafakatan politik) bersama DAP dan PKR jika parti itu melaksanakan hukum hudud kerana ia bukanlah dasar bersama gabungan ketiga-tiga parti itu.
   
Oleh itu, menurut Mohd Nakhaie, sekarang adalah masa terbaik untuk Pas membuktikan bahawa parti itu benar-benar mengotakan cita-citanya melaksanakan hukum hudud tanpa perlu mengambil peduli tentangan daripada rakan sekutunya.
   
Jika ini dapat dilakukan, ia akan membantu menepis persepsi bahawa parti itu tunduk kepada desakan DAP-PKR.
   
Seperti yang umum sedia maklum, DAP menentang kuat hasrat Pas untuk melaksanakan hukum hudud dan negara Islam. Pengerusi DAP Karpal Singh pada November tahun lepas dilapor berkata bahawa DAP tidak pernah bersetuju dengan pelaksanaan hukum hudud di negara ini.
   
Namun, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, parti itu tetap akan melaksanakan hukum hudud walaupun ada tentangan daripada pihak lain termasuk rakan sekutunya, DAP.
   
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga pernah menegaskan bahawa hukum hudud adalah hak Pas untuk melaksanakannya di negara ini apabila tiba masanya.
   
"Hudud hak kita, tak paksa bukan Islam untuk dikenakan hudud kerana dia ada agama dia. Sebagai contoh orang Islam minum arak akan dikenakan hukuman hudud itu tetapi tidak bagi bukan Islam," kata Abdul Hadi.
       

KEUNTUNGAN POLITIK
   
Jika itulah sebenarnya pendirian Pas, adakah Pas bersedia kehilangan rakan sekutunya?
    
Demi menjaga hubungan antara parti dalam pakatan, Mohd Nakhaie, sekali lagi berpendapat bahawa hukum hudud yang dibawa Pas hanyalah untuk meraih keuntungan politik.
   
Naib Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia Kebangsaan (Perkim) itu berkata: "Saya rasa DAP dan PKR tak risau sangat pasal hukum hudud kerana hakikatnya mereka tahu Pas tiada kemampuan untuk melaksanakannya."
   
Beliau berkata, DAP pula terpaksa bersuara demi menjaga hati orang bukan Islam dan menyifatkan pelaksanaan hukum hudud akan menjejaskan hak asasi manusia.
              

KELUAR GABUNGAN
      
Tiada pilihan bagi Pas untuk melaksanakan hukum Islam itu, melainkan keluar daripada pakatan Pas-DAP-PKR jika mahu berjaya melaksanakan hukum hudud.
   
Bekas Setiausaha Dewan Ulama Pas Kelantan, Wan Ismail Wan Ahmad dilapor berkata, kepimpinan Pas perlu mengambil langkah tegas untuk keluar daripada pakatan pembangkang bagi menterjemah dasar parti untuk melaksanakan undang-undang Islam.
   
Bekas Ketua Pemuda Pas Cawangan Kampung Pangkalan Bujang, Merbok, Kedah, Mohamad Khalid Abd Hamid pula berkata, dengan sikap biadap yang ditunjukkan DAP dan PKR termasuk dalam isu penggunaan kalimah Allah, Pas sememangnya wajar keluar daripada pakatan pembangkang dengan segera. 


-BERNAMA

Tiada ulasan: